FEBRUARI 2022

Eksport Produk Kayu Sarawak Cecah RM3.9 Bilion


KUCHING: Eksport produk perkayuan negeri ini mencatat peningkatan empat peratus bernilai RM3.9 bilion pada 2021 berbanding 2020, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, nilai eksport produk perkayuan Sarawak pada 2020 hanya mencatatkan RM3.7 bilion disebabkan Covid-19.

Statistik itu petanda bahawa keadaan ekonomi mulai beransur pulih dan permintaan bahan komoditi seperti produk perkayuan mencatatkan peningkatan,” katanya selepas merasmikan Hari Integriti dan Inovasi dan Perhimpunan Perdana Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) 2022 di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, di sini. Hadir sama Menteri Muda Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Dato Dr Juanda Jaya.

Awang Tengah sehubungan itu, berharap trend ini akan berterusan dan dapat meningkatkan lagi nilai eksport.

Beliau berkata, papan lapis kekal sebagai produk perkayuan utama yang dieksport atau hampir 55 peratus atau RM2.15 bilion daripada jumlah eksport produk perkayuan Sarawak pada 2021.

Produk perkayuan utama lain yang dieksport tahun lalu ialah balak (RM509 juta), kayu bergergaji (RM381 juta), papan gentian (RM334 juta) dan kayu racik (RM213 juta).

"Dari segi pasaran pula, Jepun merupakan pengimport terbesar produk perkayuan dari Sarawak," tambahnya.

Nilai eksport produk perkayuan Sarawak ke Jepun berjumlah RM2.04 bilion pada 2021 dan lima pasaran utama lain ialah India (RM476 juta), Taiwan (RM206 juta), Filipina (RM179 juta), China (RM175 juta) dan Korea (RM123 juta).

Sumber dari : Jiwa Bakti